Tuesday 29 March 2011

Sukan

DATUK LEE CHONG WEI

Lee Chong Wei (Badminton)
Wajahnya keanak-anakan tetapi jangan terpedaya, di sebalik wajah comel itu, kehebatannya menggegarkan ramai. Pemain utama perseorangan lelaki dalam acara badminton ini, Datuk Lee Chong Wei, sudah membuka banyak mata untuk melihat taring anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini dalam sukan itu.
Dinobatkan sebagai pemain nombor satu dunia ini, kejayaannya bukan sedikit. Beliau merangkul pingat perak di temasya Sukan Olimpik 2008, maka menjadi rakyat Malaysia pertama yang layak ke pusingan akhir acara perseorangan lelaki, sekaligus menamatkan kemarau pingat Olimpik Malaysia sejak tahun 1996. Pencapaian ini mengurniakan gelaran Datuk kepadanya, serta sanjungan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai wira kebangsaan.


Lee menduduki tangga teratas dalam ranking pemain badminton lelaki perseorangan pada 21 Ogos 2008. Beliau ialah pemain badminton Malaysia ketika yang mencapai tangga teratas selepas Rashid Sidek dan Roslin Hashim (semenjak ranking rasmi dimulakan pada 1980-an), dan juga satu-satunya jaguh badminton Malaysian yang mempertahankan kedudukan teratasnya selama lebih dua minggu.
Biografi
Dilahirkan 21 Oktober 1982, Chong Wei, pemuda yang terkenal dengan sifat peramah ini sudah menundukkan ramai pemain dunia, termasuk pemain nombor satu dunia, Lin Dan, dari China. Beliau mendapat pendidikan awal di Jit Sin Primary School (B) sebelum menyambungkan pelajarannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Way.
Satu perkara `pelik’ yang mungkin harus dikongsi bersama pembaca dan peminat Chong Wei, anak muda ini tidak menggemari artis Hong Kong seperti kebanyakan anak muda berketurunan Cina di negara ini. Idolanya juga bukan bintang badminton dunia, sebaliknya kelab bola sepak terkaya di dunia, Manchester United.
Pada zaman kanak-kanaknya, Lee gemar bola keranjang, namun ibunya melarangnya dari menceburi sukan itu gara-gara bahang yang melayur di gelanggang bola keranjang luaran. Lee mula mempelajari badminton seusia 11 tahun, apabila bapanya yang gemar bermain sukan ini membawanya ke dalam gelanggang badminton. Setelah menarik perhatian seorang jurulatih tempatan, jurulatih itu meminta izin bapa Lee agar Lee menjadi anak didiknya. Setelah mendapat restu bapanya, maka jurulatih itu mula melatih Lee selepas waktu sekolah. Setelah ditemui oleh Misbun Sidek, barulah beliau menyertai pasukan kebangsaan pada usia 17 tahun.

ab
Lee Chong Wei berjaya mematahkan serangan pihak lawan dengan tangkas.
KERJAYA DAN PENCAPAIAN:
2002–2007

Lee menghampiri gelaran juara pertamanya dalam sesebuah kejohanan utama pada tahun 2003, apabila beliau layak ke pusingan akhir sulungnya di Terbuka Malaysia 2003, sebelum tumpas di tangan Chen Hong dari China. Pada tahun 2004, Lee berjaya memburu dua kejuaraan terawalnya di Terbuka Malaysia dan Terbuka China Taipei. Lee menyertai pasukan kebangsaan ke Sukan Olimpik 2004 di Athens. Dalam sukan Olimpik pertamanya, Lee mengetepikan Ng Wei dari Hong Kong di pusingan pertama sebelum ditumpaskan lagi oleh Chen Hong di pusingan kedua. Apapun, Lee masih terdaya merangkul dua lagi kejuaraan pada tahun 2005, iaitu di Terbuka Malaysia dan Terbuka Denmark, di samping menggondol pingat gangsa dalam aksi Kejohanan Dunia pertamanya setelah kalah di pusingan separuh akhir kepada Taufik Hidayat yang kemudian menjuarai kejohanan tersebut.
Lee kemudian merangkul tiga kejuaraan dari enam pusingan akhirnya pada tahun 2006. Beliau menjuarai Terbuk Switzerland, Kejohanan Badminton Asia dan (untuk kali ketiga) Terbuka Malaysia, di samping juga mencapai peringkat akhir Terbuka Cina Taipei, Terbuka Macau dan Terbuka Hong Kong. Lee membantu skuad Malaysia menggondol dua butir pingat emas di acara badminton perseorangan lelaki dan pasukan campuran di temasya Sukan Komanwel 2006 di Melbourne pada bulan Mac. Lee mencapai kedudukan teratas sebanyak dua kali di ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia pada tahun 2006, lalu menyertai Kejohanan Dunia sebagai pemain pilihan pertama tetapi dikejutkan oleh Bao Chunlai dari China di pusingan suku akhir dalam perlawanan yang dicemari oleh dua line call berkontroversi yang tidak menyebelahi Lee.


Pada 3 November 2006, Lee terlibat dalam kemalangan jalan raya dalam perjalanan ke Bukit Jalil selepas bermakan malam, apabila kereta beliau dilanggar di belakang oleh sebuah kenderaan yang hilanga kawalan akibat tayar bocor. Beliau dihantar ke Sunway Medical Centre untuk dirawat dengan enam jahitan pada kecederaan kepalanya.

Musim 2007 menyaksikan Lee gagal memasuki pusingan akhir buat kali pertama dalam Terbuka Malaysia sejak lima tahun, bahkan juga tersingkir awal dalam lima pertandingan selepas itu sebelum melambung kembali untuk merampas kejohanan Terbuka Indonesia, iaitu gelaran pertamanya sejak Terbuka Malaysia 2006 setelah berpisah dari Li Mao untuk bersatu semula dengan jurulatih Misbun Sidek. Prestasinya di separuh kedua tahun itu cemerlang sekali, apabila merangkul tiga gelaran di Terbuka Filipina, Terbuka Jepun dan Terbuka Perancis. Beliau juga mencapai pusingan akhir Terbuka China dan Terbuka Hong Kong walaupun terjejas oleh kecederaan lututnya. Lee memenangi semua perlawanan yang melibatkannya dalam Piala Sudirman pada bulan Jun, walaupun pasukan Malaysia hanya mencapai tempat ke-5 keseluruhan dalam pertandingan. Detik paling pahit yang dialami oleh Lee adalah di Kejohanan Dunia, sungguhpun diadakan di Malaysia dan prestasi yang membanggakan sepanjang separuh kedua tahun itu, beliau kalah mengejut kepada Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia, sehingga beliau menyela ketua jurulatih Yap Kim Hock sebalik sahaja menerima kekalahan dengan alasan bahawa Yap terlalu memberi tekanan dalam persediaannya untuk menghadapi kejohanan.
2008: Olimpik
Lee Chong Wei di separuh akhir badminton Sukan Olimpik 2008 di Beijing

Lee memulakan tahun 2008 dengan jayanya, dengan merangkul kejuaraan keempat dari Terbuka Malaysia dalam masa lima tahun. Diikuti Terbuka Singapura, Terbuka Korea (perlawanan terakhir sebelum sukan Olimpik), Terbuka All England, Terbuka Switzerland, Kejohanan Badminton Asia, dan juga Piala Thomas di Jakarta, Indonesia, di mana Lee membawa pasukan Malaysia ke separuh akhir apabila beliau menumpaskan Lin Dan untuk memastikan Malaysia mendahului 1–0 ketika melawan jaura bertahan dari China. Namun demikian, Malaysia akhirnya kalah 2–3 kerana tumpasnya beregu pertamanya dalam perlawanan terakhir.

Di Sukan Olimpik 2008, Lee dikecualikan dari pusingan pertama, kemudian senang mengetepikan cabaran Ronald Susilo di pusingan kedua, KÄ™stutis Navickas di pusingan ketiga, dan Sony Dwi Kuncoro di pusingan suku akhir, sebelum bertungkus-lumus mengatasi saingan hebat Lee Hyun-il dari Korea Selatan sebelum dapat mara ke pusingan akhir. Bagaimanapun, Lee mudah dikalahkan oleh Lin Dan dengan mata 12–21, 8–21. Lee menerima ganjaran RM 300,000 pada 21 Ogos 2008, kerana menggondol pingat perak di Sukan Olimpik, di samping juga RM 3,000 sebulan sebagai pencen seumur hidup mulai Ogos 2008. Untuk pencapaian yang sama, beliau dikurniakan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada 30 Ogos 2008.


Lee mengakhiri kejohanan Super Series terakhirnya pada tahun 2008 di Terbuka Hong Kong dengan menarik diri akibat kecederaan lutut, sekaligus membuka peluang kepada Marc Zwiebler dari Jerman.Penarikan diri ini menyebabkan pihak media China mengejeknya sebagai "pemain nombor satu dunia yang terlemah",di samping juga berspekulasi bahawa terdapat tiga faktor yang menjejaskan prestasi Lee sejak Sukan Olimpik, iaitu tekanan pusingan akhir Olimpik, kegerunan akan Lin Dan kerana tewas mudah di tangan Lin, dan tekanan yang dihadapi sebagai nombor satu dunia (seperti yang digemakan oleh Misbun Sidek).


Sungguhpun keperitan bermain di peringkat antarabangsa, beliau menempah kemenangan ketujuhnya di pusingan akhir Grand Prix Bandminton Kebangsaan di Kedah pada 12 Disember 2008, sekaligus memecah sasaran enam kejuaraan berturut-turut yang ditetapkan oleh Misbun Sidek.[38] Lee akhirnya merangkul gelaran juara di Super Series Masters Finals, itupun tanpa cabaran dari Lin Dan dan pemain handalan China yang lain gara-gara dibelenggui kecederaan dan keletihan.
2009

Lee melancarkan musim 2009 season dengan kejuaraan Terbuka Malaysia yang kelima, tetapi gagal merangkul kejuaraan di Terbuka Korea dan Terbuka All England walaupun mara ke pusingan akhir. Namun begitu, beliau memenangi gelaran kedua tahun itu di Terbuka Swiss dengan menumpaskan Lin Dan dalam straight set, sekaligus menandakan kali pertama menumpaskan pemain handalan China itu di pusingan akhir di luar negara asalnya. Kemudian, Lee dikejutkan oleh Chen Long dari China di Terbuka India. Beliau mendakwa kekalahannya akibat keracunan makanan dan menggesa pihak berwajib agar memperbaiki keadaan menjelang Kejohanan Dunia. Pada bulan Mei, Lee membantu Malaysia mencapai pusingan separuh akhir pertama mereka sepanjang sejarah Piala Sudirman, walaupun rekod tanpa kalah dalam kejohanan itu akhirnya dipecahkan oleh Lin Dan. Apapun, beliau merangkul kejuaraan lagi di Terbuka Indonesia, dan Terbuka Malaysia Grand Prix Gold, biarpun gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Singapura kerana dikejutkan oleh Nguyen Tien Minh di pusingan kedua.


Pada 6 Jun 2009, Lee dikurniakan gelaran Darjah Bakti (DB) dari YDPA Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena hari keputeraan rasmi baginda atas pencapaiannya di Sukan Olimpik 2008. Beliau pernah dilaporkan menjalin hubungan dengan rakan sepasukannya Wong Mew Choo, sehingga mereka berdua mengumumkan tamatnya hubungan mereka pada bulan September.


Pada bulan Ogos, Lee Chong Wei menyertai Kejohanan Dunia di Hyderabad, India dengan cita-cita merangkul kejuaraannya tetapi dihampakan oleh Sony Dwi Kuncoro di suku akhir. Setelah berehat selama sebulan, Lee bertanding di China Masters di mana beliau tewas kepada Lin Dan di suku akhir  diikuti kekalahan awal di pusingan kedua Terbuka Jepun di tangan Simon Santoso. Kecederaan yang dialami pada lututnya ketika itu menyebabkan Lee kurang beraksi sedikit sepanjang saki-baki tahun 2009. Setelah menjauhi Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis, Lee kembali ke arena dengan menjuarai Terbuka Hong Kong pada 15 November tetapi selepas itu kecundang di pusingan pertama Terbuka China tiga hari kemudian. Di World Super Series Masters Finals yang diadakan di Johor Bahru pada 3–6 Disember, Lee Chong Wei mengharumkan lagi nama Malaysia dengan mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki, diikuti kejayaan Wong Mew Choo menjuarai perseorangan wanita. Walau bagaimanapun, Chong Wei terpaksa melepaskan peluang beraksi di Sukan SEA yang diadakan seminggu kemudian di Vientiane atas arahan jurulatih demi menyembuhkan
2010

Datuk Lee Chong Wei memulakan tahun 2010 dengan ampuh, dengan merangkul kejuaraan Terbuka Korea dan Terbuka Malaysia (yang keenam) berturut-turut. Ini juga kali pertama Lee memenangi dua kejohanan Super Series berturut-turut. Pada 14 Mac, pada percubaan ketujuh menjuarai Kejohanan All-England sepanjang kerjayanya, Lee akhirnya berjaya merangkul gelaran juara perseorangan lelaki di perlawanan berprestij itu di Birmingham, dengan menangkis saingan Kenichi Tago dari Jepun di perlawanan akhir dengan markah 21–19, 21–19.


Lee menyertai Piala Thomas di tanah air sendiri. Beliau berjaya menumpaskan Kenichi Tago untuk menggondol mata pertama, namun pasukan Malaysia kalah 2–3 kepada Jepun. Di separuh akhir, beliau menewaskan Peter Gade, sekaligus membantu pasukannya mendapat tempat dalam separuh akhir. Di separuh akhir melawan China, Lee ditewaskan oleh Lin Dan, sekaligus mengakhiri rekod 18 perlawanan tanpa kalah sejak awal tahun ini.
Pada bulan Jun, Lee mengambil bahagian dalam Terbuka Singapura tetapi tersungkur di suku akhir.[69] Namun demikian, Lee bangkit dengan menjuarai Terbuka Indonesia, Terbuka Malaysia Grand Prix Emas pada bulan Julai,[71] dan Terbuka Macau pada bulan Ogos. Pada akhir bulan Ogos, Lee mencuba nasib lagi dalam Kejohanan Dunia, tetapi tewas mengejut di tangan Taufik Hidayat di peringkat suku akhir. Misbun Sidek mengaku bahawa kekalahannya adalah disebabkan kecederaan belakang yang dialaminya selepas pusingan ketiga. Pada 26 September, Lee menewaskan musuh ketatnya, Lin Dan di Terbuka Jepun.


Pada bulan Oktober, Lee membantu pasukan Malaysia menewaskan India untuk mempertahankan pingat emas dalam acara pasukan bercampur Sukan Komanwel 2010, kemudian berjaya mempertahankan pingat emasnya sekali lagi dalam acara perseorangan. Sebulan kemudian, beliau menggondol pingat perak di Sukan Asia. Biarpun dapat menumpaskan Juara Dunia Chen Jin di separuh akhir, Lee sekali lagi merasai kekalahan di tangan musuh ketatnya, Lin Dan, di pusingan akhir. Pada akhir tahun, Lee menggondol gelaran Terbuka Hong Kong yang kedua berturut-turut.
  • 2006: Juara perseorangan Kejohanan Badminton Asia (ABC); juara perseorangan lelaki dan acara berpasukan campuran Sukan Komanwel; Juara Terbuka Switzerland
  • 2005: Juara perseorangan Terbuka Denmark; Juara perseorangan Terbuka Malaysia; Separuh akhir Kejohahan Badminton Dunia di Anaheim
  • 2004: Juara Terbuka Malaysia; Juara Terbuka Taiwan; Naib Juara Terbuka Singapura; Suku Akhir Terbuka Indonesia; Suku Akhir Terbuka Korea; Suku Akhir Terbuka Thailand; Pusingan Awal Olimpik Athens; Pusingan Awal Terbuka China; Pusingan Awal Kejuaraan Asia; Pusingan Awal Terbuka Jepun; Perlawanan Akhir Piala Thomas
  • 2003: Juara Satelit Luster Malaysia; Pusingan ketiga Terbuka China, Naib juara Satelit India; Suku akhir Terbuka Denmark, Separuh akhir Terbuka Belanda; Naib juara Terbuka Malaysia; Pusingan ketiga Terbuka Indonesia; Pusingan kedua Terbuka Singapura
  • Juara Komanwel 1998
  • Menduduki ranking nombor satu dunia selepas mengetepikan Lin Dan pada 24 Ogos 2008.

c
Kejayaannya menyemarakkan arena sukan negara.
Anugerah:
  • Olahragawan Kebangsaan 2005
  • Menerima gelaran Datuk (Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) dari Yang di-Pertua Negri Tun Abdul Rahman Abbas pada 30 Ogos 2008 selepas berjaya merangkul pingat perak pada Sukan Sea Beijing 2008.
  • Pemain badminton nombor satu dunia selepas menewaskan Lin Dan.
  • Memenangi emas pada Kejohanan  Siri Super Terbuka Korea Selatan 2010.
  • Memenangi emas enam kali berturut-turut pada Kejohanan Terbuka Malaysia bermula 2005.
lee_chong_wei1

No comments:

Post a Comment